Penyanyi Aina Abdul menafikan dakwaan dia mengeluarkan belanja lebih setengah juta untuk persembahan lagu Puas Sudah di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) semalam.
Memetik HibGlam, Aina berkata dia tidak boleh kongsikan jumlah sebenar perbelanjaan bagi persembahannya itu kerana bimbang menjadi sasaran pihak tertentu.
BACA: Aina Abdul Sedih Dengan Dakwaan Man Bai, Akan Kerja Keras Hasilkan ‘Killer Song’
“Saya tak boleh kongsi amaun sebenar sebab akan ada ‘benda’ lain yang mengejar nanti. Tidaklah mencecah setengah juta, itu sudah seperti kos buat album atau bayar duit deposit pembelian rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Aina mengakui perbelanjaan yang dikeluarkan itu paling dan namun berbaloi apatah lagi berjaya memenangi trofi Persembahan Terbaik.
“Kos yang banyak itu Alhamdulillah berbaloi sebab Allah beri rasa kemenangan untuk AJL39 kali ini. Namun, untuk AJL39 adalah yang paling banyak saya berhabis,” katanya.
Sementara itu, Aina berkata kemenangan tersebut juga hasil kerja keras seluruh pasukannya yang sudah berkerja keras sejak beberapa bulan lalu.
“Alhamdulillah dapat rasa ‘oh begini rasanya menang persembahan terbaik’. Saya bawa lebih 100 orang untuk seluruh pasukan bagi menyiapkan semua persiapan yang mengambil masa berbulan-bulan,” katanya.
Tampil dengan konsep jantung di pentas AJL39, Aina berkata tiada konsep lain yang boleh difikirkan untuk lagu Puas Sudah dan ianya adalah mesej terbaik untuk lagu berkenaan.
“Saya hanya medium untuk menyampaikan cerita tentang ramai wanita yang terluka dan melalui banyak kesulitan hidup di luar sana. Begitu juga untuk para lelaki yang mungkin pernah terluka dalam hidup mereka.
“Jadi jantung adalah mesej terbaik untuk Puas Sudah. Saya tampil sebagai jantung sebab ini selayaknya, memang tak boleh fikir tema lain,” jelasnya.
SUMBER: HibGlam