Air tangki melimpah, 12 lif di Komtar henti operasi sementara

Air tangki melimpah, 12 lif di Komtar henti operasi sementara

am@hmetro.com.my

Georgetown: Sekurang-kurangnya 12 lif di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri di sini, terpaksa dihenti operasi sementara selepas tangki air di tingkat 27 bangunan itu melimpah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5 pagi tadi.

Katanya, laporan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus (PDCSU) memaklumkan berlaku masalah teknikal menyebabkan tangki air di tingkat 27 melimpah.

“Kejadian itu menyebabkan kira-kira 12 lif khususnya bagi zon tengah dan zon atas terpaksa dihentikan.

“Bagaimanapun, setakat jam 11 pagi tadi beberapa lif sudah dibenarkan bagi diakses termasuk zon tengah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan beberapa keping gambar penjawat awam berkumpul di tingkat bawah bangunan berkenaan susulan tidak dapat mengakses lif ke pejabat masing-masing.

Juga terdapat gambar yang memaparkan kakitangan membantu membersihkan air di kawasan yang terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd