[DIKEMAS KINI] MELANGKAH ke tahun 2025, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat memperkukuh daya tahan sistem bekalan air menerusi pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, inisiatif adalah selari dengan usaha Air Selangor memenuhi keperluan pengguna serta menjamin kesejahteraan komuniti.
âAntara usaha termasuk meningkatkan kapasiti air terawat agar mencapai sasaran kadar selesa ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi pembinaan loji rawatan air utama dan loji rawatan air kompak dan mudah alih bagi meningkatkan keupayaan pengagihan bekalan air yang lebih mampan.
âBerikutnya, membina loji rawatan air kompak dan mudah alih bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air di beberapa lokasi strategik dan bertindak sebagai sistem sokongan jika terdapat kerja penyenggaraan dan kecemasan,â katanya ketika majlis makan tengah hari bersama media di Kuala Lumpur pada Rabu.

Adam Saffian (empat dari kiri) bergambar bersama media pada majlis makan tengah hari di Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Adam Saffian, Air Selangor turut memperkukuh usaha air pulih guna bagi mempertingkatkan kapasiti sumber air alternatif dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd (CWR), terutama untuk penggunaan beberapa pusat data yang dibangunkan secara berfasa dengan unjuran penggunaan air melebihi 240 juta liter air sehari.
âAir Selangor turut akan bekerjasama dengan pihak Kumpulan MBI Selangor bagi meningkatkan peratusan pihak industri mengguna pakai efluen daripada sistem rawatan efluen sejajar dengan langkah Dasar Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor.
âInisiatif yang melibatkan air kumbahan domestik dan perindustrian ini akan lama kelamaan menutup kitaran air sekaligus memperkukuh peranan Air Selangor sebagai peneraju ekonomi kitaran dalam memastikan kelangsungan bekalan air yang lebih lestari.
âSeterusnya, pihak kami turut mempergiat inisiatif tenaga lestari sedia ada dengan menambah pemasangan solar panel serta meneroka teknologi turbin hidro kuasa di loji rawatan air, rumah pam dan beberapa lokasi strategik bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga daripada aliran air berterusan âContinuous Water Flowâ (CWF) menjelang 2035,â katanya.
Menurut beliau, usaha tersebut bertujuan mengurangkan kos operasi yang tinggi dan sejajar dengan visi Tenaga Net Zero 2040 Air Selangor.
Ujarnya lagi, Air Selangor turut berusaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2030.
âAntara langkah yang akan diambil bagi mempercepatkan pengurangan kadar NRW bagi mengurangkan kos operasi adalah dengan kaedah Kontrak Berdasarkan Prestasi (Performance Based Contract) menggunakan sumber luar (outsource).
âPendekatan ini bertujuan memanfaatkan kekuatan kewangan dan kepakaran teknikal sektor swasta, dengan Air Selangor berkongsi penjimatan dengan kontraktor tanpa mengeluarkan pelaburan awalan yang tinggi,â katanya.
Beliau turut memaklumkan, Air Selangor akan meneruskan usaha penggantian paip sebanyak 300 kilometer setahun dan kemudiannya 400 kilometer setahun bermula 2034. Ini membolehkan 5,000 kilometer paip usang dapat diganti dalam tempoh 15 tahun (2040).
Tidak ketinggalan, usaha pemuliharaan air diletakkan sebagai agenda utama di bawah Pelan Hala Tuju Pemuliharaan Air 2025-2030 oleh Air Selangor bagi menggalakkan penggunaan air yang lebih cekap dan Lestari, selaras dengan sasaran 160 liter per kapita sehari (LCD) menjelang 2030 yang disyorkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Adam Saffian turut berkongsi, Air Selangor komited melaksanakan semua inisiatif dengan cekap dan segera, sejajar aspirasi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menegaskan tahun 2025 adalah tahun tindakan untuk Negeri Selangor.
Dalam pada itu, sepanjang tahun 2024, Air Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik memperkukuh kecekapan operasi serta mempertingkatkan infrastruktur bagi memberi pengalaman terbaik kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
âAntara pencapaian Air Selangor termasuk mencapai NRW sebanyak 27.00 peratus bersamaan dengan penjimatan air sebanyak 298.36 juta liter sehari (JLH) sekaligus mengoptimumkan kos operasi dan memastikan kecekapan sumber Air Selangor.
âAir Selangor juga berjaya meningkatkan margin rizab air kepada 18.60 peratus, berbanding 15.34 peratus pada tahun 2023, hasil daripada pemantauan rapi empangan dan loji rawatan air bagi memastikan kestabilan bekalan air serta penyiapan loji rawatan air Langat 2 secara berperingkat.
“Selain itu, Air Selangor turut berjaya mematuhi Piawaian Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 99.93 peratus, pematuhan melebihi 99 peratus secara konsisten untuk empat tahun berturut-turut,” katanya.
Menurut Adam Saffian, semua pencapaian ini dan banyak lagi bukan sahaja mengukuhkan ketahanan sistem bekalan air tetapi memastikan kelangsungan sumber air demi kesejahteraan pengguna selari dengan janji jenama âJoy in Every Dropâ.