Air Mata Marsha Milan Mengalir, Trofi Juara AJL39 Hadiah Terindah Selepas Perjuangan 20 Tahun

Air Mata Marsha Milan Mengalir, Trofi Juara AJL39 Hadiah Terindah Selepas Perjuangan 20 Tahun

Perjalanan penuh liku penyanyi berbakat, Marsha Milan, akhirnya terbayar dengan detik paling manis dalam kerjayanya apabila dinobatkan sebagai Juara dalam acara berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.

Air mata kegembiraan mengalir tanpa henti sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang. Marsha tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan terharu kerana trofi ini menjadi simbol pengorbanannya sepanjang 20 tahun dalam industri muzik.

“Ramai yang menyaksikan perjuangan saya sepanjang dua dekad dalam industri ini. Akhirnya, tahun ini saya berjaya merangkul gelaran juara. Trofi ini sangat bermakna buat saya,” luahnya penuh emosi.

Menurut Marsha, kemenangan ini lebih manis kerana perjalanan menuju AJL kali ini penuh cabaran.

“Terus terang, persiapan saya untuk AJL tahun ini tidak seperti sebelum ini. Saya melalui pelbagai cabaran sepanjang bulan ini, namun Alhamdulillah, dengan sokongan semua pihak terutama pencipta lagu, saya berjaya memberikan yang terbaik di pentas AJL,” katanya.

Mengulas mengenai penghayatannya dalam menyampaikan lagu Hening Rindu pada malam tersebut, Marsha mengakui lagu itu mempunyai nilai sentimental yang mendalam buat dirinya.

“Lagu ini benar-benar menyentuh hati saya kerana ia mengingatkan saya kepada insan-insan tersayang yang telah tiada. Pada masa yang sama, saya juga memikirkan mereka di luar sana yang sedang melalui perasaan kehilangan yang sama. Saya terlalu menghayatinya kerana banyak pengalaman hidup saya berkait rapat dengan lagu ini. Alhamdulillah, ini adalah rezeki daripada Allah,” ujarnya penuh makna.

Ketika ditanya sama ada pernah terlintas untuk mengakhiri kerjayanya sebagai penyanyi, anak kelahiran Sabah ini mengakui bahawa semangat peminat serta insan-insan di sekelilingnya menjadi kekuatan untuk terus bertahan dalam industri.

“Saya menyayangi industri ini dan terlalu mencintai bidang nyanyian. Peminat saya, Nadi Marsha, tidak pernah berhenti memberikan sokongan. Melihat mereka terus berada di sisi membuatkan saya sedar bahawa saya tidak boleh berhenti. Ramai yang ingin melihat saya terus berjuang, dan itu menjadi sumber kekuatan saya,” katanya penuh semangat.

Pada macam acara kemuncak itu, Marsha membawa pulang wang tunai RM100,000 bersama trofi selepas meraih kejuaraaan dalam lagu Hening Rindu hasil ciptaan komposer, Ikhwan Fatana dan lirik oleh Wan Salleh.

Scroll to Top