anbia@hmetro.com.my
Damsyik: Jiwanya terlalu sebak hingga hilang semua kata-kata mahu diucapkan. Air mata bergenang seraya bibir bergetar kuat ketika diajukan soalan oleh penulis.
Kedaifan hidup dialami menyebabkan wanita warga Syria mahu dikenali sebagai Fatima, 60, amat bersyukur sebaik menerima sumbangan kotak makanan seberat lebih 30 kilogram hasil derma rakyat Malaysia.
Wanita warga emas itu adalah antara 250 penerima sumbangan kotak berisi pelbagai makanan kering disalurkan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) bertempat di Jaubar, pinggir bandar di sini, kelmarin.
Ketika didekati, wanita terbabit berusaha menjawab beberapa soalan ringkas berhubung kesempitan hidup dialami. Namun suaranya seakan-akan tersekat.
Hanya air mata berjurai membasahi pipi sebelum ia dikesat menggunakan lengan baju.
Ternyata sumbangan diterima itu dianggap rahmat besar atau ‘talian hayat’ bagi menyambung hidup pasca tamatnya perang dan kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad Disember lalu.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Ghassan Aboud, 44, berkata, kemiskinan dialami menyebabkan dia dan tiga anak hanya mampu mengalas perut dengan memakan roti baladi berharga sekitar Syrian pound 5,000 (RM2).
Menurutnya, pekerjaannya sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar Syrian Pound 10,000 sehari (RM4) hanya membolehkan dia membeli roti baladi bersama sedikit humus (pencicah diperbuat daripada kacang kuda atau kacang lain yang dimasak dan dilecek).
“Memakan ayam atau daging adalah perkara mustahil. Saya perlu berjimat cermat untuk kegunaan perubatan dan kecemasan. Terima kasih kepada MCM dan rakyat Malaysia yang bersusah payah menyumbang kotak makanan kepada kami,” katanya.
Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, sumbangan makanan kering diberikan itu membabitkan tepung gandum, minyak masak, kacang pool, kacang dal, makaroni, teh dan pelbagai makanan tempatan lain bernilai lebih RM150 setiap satu kotak.
Menurutnya, MCM sebelum itu turut menyalurkan 350 bungkusan baju sejuk kepada penduduk yang mendiami kem pelarian Palestin di Mukkayam Yarmuk, pinggir bandar Damsyik pagi kelmarin.
“Rata-rata pelarian Palestin yang mendiami kawasan penempatan padat itu adalah golongan daif dan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Lebih menyedihkan apabila ramai antaranya turut terkorban dalam serangan tentera bersekutu Presiden Bashar Al-Assad selepas dituduh membantu tentera penentang Mujahiddin.
“Pasukan kami kemudian bergerak pula ke kawasan penempatan Kafarsusah di sini, bagi penyerahan lebih 200 pek makanan kepada penduduk miskin di situ. Kami menggunakan lori lima tan bagi mengangkut semua kotak sumbangan berkenaan,” katanya.
Beliau menyifatkan sumbangan disalurkan bersama pertubuhan Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Cinta Gaza (CGM) dan rakan lain mencapai matlamat dalam membantu golongan amat memerlukan di Syria.
Sementara itu, penulis mendapati kawasan penempatan Jaubar, Mukkayam Yarmuk dan Kafarsusah di sini, adalah lokasi tragedi serangan tentera bekas Presiden Bashar Al-Assad bermula sekitar 2012.
Beratus ribu kediaman musnah sebahagian atau sepenuhnya akibat serangan bertalu-talu bom berangkai serta tembakan roket oleh tentera Bashar.
Difahamkan, serangan berkenaan berlaku siang dan malam hingga turut meragut nyawa ribuan penduduk tidak berdosa.
Malah kawasan itu pernah dikepung pihak tentera selama lebih empat tahun menyebabkan penduduknya menderita kebuluran hingga sanggup memakan rumput dan kucing.
Upah rendah, rakyat susah dapat kerja
© New Straits Times Press (M) Bhd