Air longkang limpah bawa bah

Air longkang limpah bawa bah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Setiap kali hujan lebat lebih dua jam, longkang di hadapan taman perumahan ini akan melimpah sehingga ke jalan raya yang membawa bersama sampah sarap,” kata Nor Faizal Hafiq Nor Affendi, 40.

Nor Faizal Hafiq adalah penduduk Taman Wira, Mergong di sini yang menghadapi masalah apabila kawasan taman perumahan itu dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, masalah ini sudah lama berlaku dan penduduk sudah lali, tetapi mereka bimbang banjir kilat turut menyebabkan kemalangan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya dan penduduk.

Katanya, masalah itu kerap dihadapi penduduk blok B dan E namun kejadian banjir kilat itu tidak masuk sehingga ke dalam rumah.

“Air longkang di hadapan perumahan ini penuh dengan sampah-sarap yang menyebabkan ia tersumbat.

“Apabila hujan lebat, air longkang akan penuh dan turut melimpah ke atas jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan dan kemalangan.

“Jalan raya di hadapan Taman Wira ini adalah laluan utama ke Terminal Bas Shahab Perdana selain ke pusat bandar,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Nor Faizal Hafiq berkata, banjir akan surut semula kira-kira empat atau lima jam kemudian namun sepanjang tempoh itu, jalan raya dipenuhi air antara 0.2 atau 0.3 meter.

Katanya, terbaru kejadian banjir kilat yang berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri yang menyebabkan penduduk di blok yang terjejas dinaiki air di halaman rumah.

“Kalau penduduk di sini dah biasa dengan masalah ini tetapi pengguna jalan raya terutamanya pemandu kereta atau motosikal yang tidak biasa melalui jalan ini pernah terbabas kerana pembahagi jalan ditenggelami air.

“Kawasan ini pula kerap berlaku kemalangan, kalau hujan lebat dan banjir kilat berlaku, sudah tentu membahayakan semua pihak,” katanya.

Nor Faizal Hafiq berkata, penduduk di situ lega apabila dimaklumkan akan ada projek untuk menaik taraf kawasan perumahan itu untuk mengatasi masalah banjir kilat di situ.

Menurutnya, hanya dua blok di kawasan itu yang terjejas dengan kejadian terbabit.

Penduduk lain, Husin Ahmad, 71, berkata, rumahnya di Blok A Taman Wira itu kerap dinaiki air, tetapi hanya di halaman rumah saja.

“Kalau hujan lebat lebih dua jam, memang air longkang ini akan melimpah.

“Bila air surut, sampah sarap yang dibawa air longkang itu penuh di halaman rumah dan kami terpaksa membersihkannya,” katanya..

Husin juga berkata, dia yang sudah menetap lebih 10 tahun di kawasan perumahan berkenaan sebelum ini sudah membuat penambakan di bahagian depan rumah supaya tinggi dan air tidak masuk ke dalam rumah.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top