Aina Abdul tak mahu AJL lagi?

Aina Abdul tak mahu AJL lagi?

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Aina Abdul membayangkan mahu berehat seketika dari menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke 39 (AJL39), Ahad lalu.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, bagaimanapun tidak menjelaskan terperinci apa yang bermain di fikirannya biarpun turut diasak dengan pertanyaan mahu bersara daripada menyertai AJL selepas ini.

“Maksudnya kita lihat nanti bagaimana, tetapi saya punya fokus sekarang ini saya nak cuba buat luar dari AJL ini. Mahu teroka lagi.

“Buat masa ini, saya rasa kena ubah fokus saya untuk benda yang lebih menjamin untuk diri sendiri terutama untuk minda saya,” katanya.

Aina juga tidak menyembunyikan keadaannya yang akan berdepan tekanan setiap kali bergelar finalis AJL.

Menurutnya, perasaan itu bukan kerana terlalu memikirkan soal kemenangan tetapi disebabkan sering dibanding-bandingkan dengan peserta lain terutama Ernie Zakri.

“Kadang-kadang saya tertanya, apa lagi yang tidak cukup dalam hidup ini. Tak akan pernah cukup kemahuan kita bukan?

“Allah bagi saya dapat raih Persembahan Terbaik ini sekali gus membuatkan saya rasa mungkin ini sudah cukup.

“Saya fikir, Ernie pun sama, dapat rasa yang sama macam saya. AJL ini orang akan nampak seolah-olah Ernie lawan Aina atau Aina lawan dia,” katanya.

Aina berkata, apa yang berlaku sangat memberi tekanan terhadap mentalnya.

“Terus-terang saya tak tahu bila ia (isu perbandingan) ini akan berhenti,” katanya.

Menerusi kemenangan itu, Aina membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top