harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan kedua-dua arah lebuh raya utama di seluruh Selangor sepanjang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata bagi melancarkan aliran lalu lintas, seramai 71 pegawai dan 646 anggota trafik akan ditugaskan untuk berada di lebuh raya terbabit.
Menurutnya, elemen daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor berkenaan akan diatur gerak di bawah Ops Lancar dan Ops Selamat.
“Tujuh lokasi operasi perangkap had laju sudah ditetapkan dan 18 lokasi Ops Lancar di seluruh Selangor akan dijalankan, antaranya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Plaza Tol Gombak.
“Selain itu, di kilometer (km) 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor, Jalan Kuala Selangor-Rawang, Jalan Klang-Teluk Intan dan Plaza Tol Sungai Besi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kempen keselamatan jalan raya Kontinjen Selangor di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban, di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 49 kereta peronda polis (MPV) dan 87 motosikal dikerahkan bagi mengawal lalu lintas di lebuh raya seluruh Selangor.
Selain itu, katanya, cuti kesemua pegawai dan anggota JSPT Selangor sudah dibekukan menjelang Aidilfitri bagi menjamin kelancaran lalu lintas selain menjaga keselamatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd