Raja Noraina Raja Rahimrnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana bukan penjenayah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau sekali gus menafikan dakwaan Ahmad Samsuri diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Menurutnya, istilah kawalan perjalanan ‘TCO’ yang digunakan menteri besar itu dalam hantarannya juga tidak tepat.
Ini kerana, katanya, pegawai kawalan perjalanan (TCO) adalah jawatan pegawai polis yang bertugas di pintu keluar masuk negara.
“Beliau (Ahmad Samsuri) bukan seorang penjenayah yang perlu diletakkan dalam SPK untuk ditahan di dalam atau luar negara.
“Malah, jawatannya sebagai menteri besar yang turut memerlukan perlindungan dan kawalan keselamatan pegawai pengiring termasuk polis, secara tidak langsung (menyebabkan) semua pergerakannya diketahui.
“Justeru, tiada keperluan untuk pihak polis meletakkan beliau di bawah senarai SPK,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap orang kenamaan (VIP) yang melalui pintu masuk negara akan menggunakan laluan khas selain diiringi pegawai ditugaskan.
Katanya, ia perkara biasa sebagai seorang menteri yang ingin ke luar negara ditanya soalan berkaitan bagi memudahkan pihak polis melakukan kawalan keselamatan di tempat dituju.
Semalam, Ahmad Samsuri melalui hantaran di laman sosial Facebook mendakwa dirinya dilabel sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak cawangan seolah-olah digambarkan sebagai seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket atau persona non grata.
Beliau mendakwa turut ‘ditahan’ atau satu panggilan akan dibuat bagi mendapatkan persetujuan sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd