Ahli Parlimen Pulai alami jangkitan kuman, dirawat di ICU

Ahli Parlimen Pulai alami jangkitan kuman, dirawat di ICU

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, malam tadi, selepas paras oksigen menurun akibat jangkitan kuman.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, bagaimanapun keadaan Suhaizan kini stabil, namun memerlukan pemantauan berterusan.

“Benar, Suhaizan dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu akibat jangkitan pada usus dan paras darah putih yang tinggi menyebabkan paras oksigen rendah.

“Alhamdulillah, Suhaizan stabil, cuma malam tadi dia demam dengan suhu tinggi. Pagi ini keadaannya stabil dan (beliau) sedar, namun masih dalam pemantauan doktor di ICU,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, pembantu Suhaizan memaklumkan media bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu dimasukkan ke ICU sebuah hospital swasta, di sini, kira-kira 11 malam tadi.

“Lawatan dan ziarah tidak dibuka kepada orang luar selagi di ICU.

“Marilah sama-sama kita mendoakan semoga YB Suhaizan segera sembuh, Amin,” katanya.

Pada 9 September 2023, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor menang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Suhaizan meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Peringatan Nasional (PN) (29,642 undi) dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).

Suhaizan menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, yang meninggal dunia pada 23 Julai 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top