Aguero belum pasti beraksi berdepan Selangor

Aguero belum pasti beraksi berdepan Selangor

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Sri Pahang FC belum dapat mengesahkan sama ada pemain naturalisasi, Sergio Aguero akan beraksi berdepan Selangor FC pada pusingan 16 saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, setakat ini pemain berusia 30 tahun itu belum hadir menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah selepas pulang menyarung jersi Harimau Malaya.

“Buat masa ini, saya tidak pasti tahap kecergasan kerana dia pun belum hadir berlatih dan kemungkinan hari ini kita akan mengetahui gambaran sebenar apabila dia berlatih nanti.

“Bagi Sri Pahang, khidmatnya amat diperlukan pasukan bagi saingan piala berprestij ini. Namun, saya boleh sahkan bahawa Kpah Sherman akan mengetuai jentera serangan.

“Tetapi saya terkilan kerana masih perlu menunggu Stefano Brundo kembali dalam pasukan kerana buat masa ini masih belum cergas untuk bermain selepas mengalami kecederaan,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Beraksi bersama Harimau Malaya bagi dua perlawanan persahabatan, pemain kelahiran Argentina itu menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan Laos 3-0 dan seri 1-1 berdepan India.

Ditanya kekuatan yang dimiliki Red Giants Sabtu ini, Fandi berkata, lawannya itu memiliki keseimbangan di semua posisi yang memerlukan anak buahnya mengekalkan komitmen, disiplin dan fokus sepanjang 90 minit.

“Bagi saya semua pemain harus diawasi dan jika diberi peluang dan ruang kepada lawan pasti membahayakan pasukan.

“Dengan kelebihan beraksi pada perlawanan pertama di laman sendiri, saya harap kemenangan akan berpihak kepada Sri Pahang,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top