Agropoint Bukit Pelanduk kini dibuka

Agropoint Bukit Pelanduk kini dibuka

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Agrobank menandakan pencapaian penting dalam meluaskan akses perbankannya kepada masyarakat di luar bandar menerusi perasmian Agropoint baharu di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembukaan Agropoint di Bukit Pelanduk bukan sekadar meluaskan rangkaian fizikal ia melambangkan komitmen Agrobank terhadap keterangkuman kewangan dan pembangunan komuniti.

“Sebagai bank pertama yang menubuhkan rangkaian fizikal dengan perkhidmatan kaunter di kawasan ini, Agrobank memenuhi mandatnya untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian, terutamanya dalam sektor pertanian.

“Inisiatif ini selari dengan misi kami untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang mudah diakses di samping menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Agropoint baharu ini dilengkapi kemudahan perbankan moden, termasuk mesin teler automatik (ATM) dan Cash-In-Cash-Out (Cico) serta kedudukannya strategik di Taman Merpati.

Ia menawarkan perkhidmatan perbankan komprehensif seperti pembukaan akaun, pengeluaran kad ATM dan pelbagai produk berasaskan fi, termasuk perkhidmatan takaful dan penulisan wasiat.

Fasiliti ini juga menyediakan servis khidmat nasihat untuk produk pembiayaan runcit dan mikro.

Tengku Ahmad berkata, Agropoint baharu ini menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Chuah, meliputi pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk perladangan kelapa sawit, perikanan, pelancongan dan perniagaan kecil.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top