mahaizura@mediaprima.com.my
AGROBANK menaja Biasiswa Madani Agrobank bernilai RM416,500 kepada 10 pelajar cemerlang yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.
Penerima Biasiswa Madani Agrobank ini terdiri daripada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, akses kepada pendidikan berkualiti memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Katanya, pendidikan melahirkan tenaga kerja berpengetahuan, inovatif dan mahir dalam pelbagai bidang, sekali gus mampu menyumbang kepada kemajuan mampan.
“Ia bukan sahaja memperkasa individu dari segi teori, tetapi juga kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa.
“Masalah kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran.
“Justeru, biasiswa ini memastikan mereka dapat merealisasikan aspirasi kerjaya tanpa mengira latar belakang sosioekonomi,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Madani Agrobank dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agrobank di sini, kelmarin.
Anugerah disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tengku Ahmad Badli berkata, inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Agrobank terhadap tanggungjawab sosial korporat, malah pelaburan strategik dalam melahirkan bakat muda berpotensi menyertai Young Talent Program (YTP) Agrobank bagi mencungkil bakat kepimpinan mereka.
“Penerima Biasiswa Madani Agrobank yang hadir pada hari ini adalah dalam kalangan anak petani dan kategori B40 yang lain.
“Usaha ini sejajar dengan misi Agrobank untuk memperkasa keperluan komuniti unserved dan underserved,” katanya.
Katanya, Agrobank terus komited melangkaui peranan sebagai penyedia perkhidmatan kewangan dengan menyumbang semula kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang menyokong individu daripada pelbagai latar belakang.
“Melalui pemerkasaan pendidikan, Agrobank memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang bersedia mendepani cabaran serta mencungkil bakat untuk pembangunan pelbagai sektor terutama dalam bidang pertanian dan agromakanan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, sepanjang tahun lalu Agrobank menyalurkan pembiayaan lebih RM10.44 bilion, sekali gus membuktikan komitmen dan keupayaan institusi ini dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd