Agrobank santuni golongan B40, asnaf

Agrobank santuni golongan B40, asnaf

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Agrobank menyantuni komuniti tempatan dengan mengagihkan kotak makanan kepada 1,800 orang golongan B40 dan asnaf di seluruh Malaysia sempena Hari Makanan Sedunia yang jatuh pada 16 Oktober.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu dianjurkan bagi menyambut inisiatif Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) untuk meningkatkan kesedaran tentang kebuluran dan nutrisi di seluruh dunia.

Katanya, makanan adalah keperluan asas manusia untuk kekal cergas dan bertenaga dalam menjalani kehidupan seharian.

“Akses kepada makanan yang memenuhi keperluan diet seharusnya bersifat inklusif menjangkau setiap sudut masyarakat Malaysia tidak mengira latar belakang.

“Rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat,” katanya yang ditemui di program pengagihan bakul makanan kepada golongan asnaf dan keluarga B40 di sini, hari ini.

Sejajar dengan temanya pada tahun ini, ‘Makanan Sejagat untuk Masyarakat’, Agrobank menyantuni golongan B40 dan asnaf dengan menyediakan sumbangan dalam bentuk kotak makanan.

Kotak makanan itu mengandungi barangan asas yang membolehkan penerima menyediakan hidangan harian yang bersih, selamat dan sihat.

Tengku Ahmad berkata, usaha menghapuskan jurang akses kepada makanan berkhasiat dalam kalangan rakyat Malaysia dapat memastikan sekuriti makanan negara yang merupakan aspek penting untuk kesejahteraan rakyat.

“Bagaimanapun, apabila kebolehcapaian makanan terjamin, kesedaran untuk mengelakkan pembaziran dalam penyediaan dan pengambilan makanan juga menjadi tanggungjawab kita.

“Justeru, kita mengambil inisiatif menjadikan program ini sebagai acara tahunan Agrobank,” katanya.

Sambutan Hari Makanan Sedunia ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat daripada Agrobank kepada golongan asnaf dan B40 dengan jumlah keseluruhan RM70,000 melalui pejabat wilayah Agrobank seluruh Malaysia serta acara memasak yang diketuai oleh Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Agrobank memberi sokongan penuh bersempena sambutan Hari Makanan Sedunia kepada petani dan pemain industri yang menyumbang kepada setiap rantaian nilai makanan dengan menawarkan produk perbankan dan perkhidmatan yang berpatutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top