am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan pihaknya ada menawarkan perkhidmatan bagi membantu mangsa penipuan dalam talian untuk mendapatkan semula wang mereka.
Menerusi Facebook (FB) rasmi AGC, jabatan itu menegaskan maklumat yang tular di media sosial kononnya ia menawarkan perkhidmatan berkenaan adalah tidak benar.
Malah, maklumat itu dimuat naik di platform media sosial Facebook menggunakan akaun palsu.
“AGC memandang serius serta kesal terhadap penyebaran maklumat palsu dan mengelirukan yang kini tular di media sosial, khususnya melalui akaun palsu AGC di platform Facebook.
“Untuk makluman, AGC dan Bahagian Pendakwaan tidak pernah menawarkan sebarang perkhidmatan seperti yang didakwa oleh akaun palsu terbabit,” katanya.
Justeru, AGC menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat berkenaan dan sentiasa berhati-hati.
Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang dibuat melalui akaun palsu berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kewujudan akaun Facebook menggunakan nama Putrajaya AGC yang menawarkan khidmat mendapatkan semula wang atau kerugian milik mangsa penipuan dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd