Agamawan tampil tegur lelaki berpakaian wanita

Agamawan tampil tegur lelaki berpakaian wanita

MASYARAKAT Islam di negara ini digemparkan dengan penampilan beberapa individu lelaki yang berpakaian wanita dalam sebuah program televisyen tempatan.

Perbahasan mengenai hukum iaitu haram lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya bukanlah perkara baharu dan ia sering kali dibincangkan apabila timbulnya kejadian tersebut.

Beberapa pendakwah dan agamawan tampil menyuarakan kebimbangan sekali gus menegur agar perkara tersebut diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, pada hakikatnya Islam melarang sebarang perbuatan songsang dan luar tabii seperti kejadian berkenaan.

DR AHMAD SANUSI

DR AHMAD SANUSI

Ujarnya, ALLAH SWT melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Dalam menangani isu ini, Rasulullah melarang segala perbuatan yang menzahirkan penampilan yang mengelirukan.

“Malah Rasulullah melaknat mereka yang berpakaian bercanggah dengan jantina asal mereka,” jelasnya dalam Facebooknya pada Isnin,” katanya.

Jelas ahli akademik itu, Rasulullah SAW turut bersabda: “Rasulullah melaknat lelaki yang berpakaian wanita dan wanita yang berpenampilan dengan pakaian lelaki.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Andai berpakaian dengan pakaian bertentangan jantina asal pun telah dilarang, apatah lagi cubaan menormalisasi dan mengiktiraf LGBT yang jelas bertentangan dengan syarak.

“Adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mencegah tindakan mengiktiraf kemungkaran,” hurainya.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sementara itu, pendakwah Ustazah Asmak Husin turut mempersoalkan mengenai perbuatan lelaki yang berpakaian wanita dalam acara tersebut.

USTAZAH ASMAK

USTAZAH ASMAK

Katanya, jika dahulu orang kita malu dan segan untuk berbuat demikian, namun sekarang ia dilihat seperti fesyen dan trend.

“Ada juga saya tengok asalnya tidaklah nampak perempuan sangat pakaiannya, tetapi semalam ada yang melebih-lebih dengan cara jalannya dan lain-lain.

“Inilah yang dinamakan normalisasi. Lebih parah apabila masyarakat mula rasa biasa dan industri mengiktirafnya,” jelasnya.

Ujarnya, sebagai seorang ibu, beliau hanya berfikir kesannya kepada anak dan cucu serta generasi akan datang.

“Orang dulu walaupun lembut tetap berpenampilan lelaki dan jantan.

“Orang sekarang tak lembut tapi melebih-lebih keperempuanannya mungkin disebabkan normalisasi masyarakat.

“Apatah lagi disokong pula oleh kumpulan hak asasi yang sudah berani bertindak melalui undang-undang dengan alasan hak asasi setiap manusia,” ujarnya.

Oleh itu katanya, setiap ibu bapa wajib memantau apa yang anak lihat khususnya di media sosial, cara pergaulan, cara berpakaian termasuk bangga dengan penampilan fitrah perempuan atau lelaki.

“Paling penting bagaimana mereka membentuk mind set dan prinsip hidup.

“Kalau nak bahagia secara fitrah, wajib ikut cara hidup Islam. Sesat dalam cahaya rasa seronok dan bahagai tapi lama-kelamaan hati jadi kosong dan semakin kusut,” jelasnya.

Tegas pendakwah itu, beliau menegur bukan sebab angkuh tetapi sayang.

“Sebagai orang tua kami patut tegur sebelum terlambat,” ujarnya.

Dalam pada itu, pendakwah Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali dengan PU Syed menggesa pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan terhadap individu dan penganjur yang terlibat.

PU SYED

PU SYED

Katanya, ada sekelompok manusia yang tidak mengenali baju untuk lelaki atau wanita dan tidak mengenali jantina lelaki atau perempuan.

“Ini menormalisasikan dosa. Kenapa kita sekarang seronok nak menonjolkan diri dan kesesatan itu di hadapan manusia?

“Saya minta Jakim selaku pihak berwajib dalam negara kita untuk ambil tindakan kepada yang bertanggungjawab menganjurkan program tersebut dan tolong dakwa mereka ini,” jelasnya menerusi hantaran video di Facebooknya pada Isnin.

Ujarnya, negara mempunyai undang-undang berkaitan yang boleh mendakwa mereka yang terlibat dengan perbuatan berkenaan.

Scroll to Top