Afdlin Shauki dapat anak baru

Afdlin Shauki dapat anak baru

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki mendedahkan dia kini bergelar bapa sekali lagi apabila dikurniakan anak perempuan menerusi perkahwinan keduanya bersama isteri, Datin Marcella.

Afdlin, 54, berkata, anak mereka yang diberi nama Inayah itu kini sudah berusia 10 bulan, namun sebelum ini tidak pernah dikongsikan kepada umum atas sebab menghormati privasi keluarga.

“Dalam tempoh 10 bulan yang lalu, saya dan isteri dikurniakan anak mata perempuan yang kami namakan Inayah. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas rezeki ini.

“Namun, saya tidak pernah berkongsi perkara ini kepada umum kerana sejak dulu lagi saya dan keluarga lebih selesa menjaga hal peribadi daripada menjadi tatapan umum,” katanya.

Malah, Afdlin sempat membawa anak kecilnya itu bertemu rakan-rakan media walaupun sebelum ini lebih memilih untuk menjaganya di rumah bersama isteri tercinta.

“Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang bertemu rakan-rakan dan secara tidak dirancang, saya membawa Inayah bersama.

“Sebenarnya saya minta mereka jaga di rumah, tapi hari ini saya sendiri mahu meluangkan masa bersamanya,” katanya.

Menurut Afdlin, pengalaman bergelar bapa pada usia lebih matang memberi perspektif baharu buat dirinya, terutamanya apabila mengenang kembali zaman dia menjadi ayah semasa masih muda dan terlalu sibuk mengejar kerjaya.

“Rasa dia sangat luar biasa. Saya rasa seperti diberi peluang kedua untuk menjadi seorang bapa.

“Dulu, saya sibuk bekerja, niat memang nak sediakan kehidupan yang terbaik buat anak-anak, tapi akhirnya saya jarang ada bersama mereka.

“Kini bila usia saya sudah stabil, saya dapat meluangkan masa sepenuhnya dengan Inayah. Banyak kesilapan dulu yang saya sedar dan cuba perbaiki.

“Tenaga dulu lain, tenaga sekarang pun lain. Sekarang saya lebih bersedia, lebih sabar dan lebih menghargai saat-saat kecil bersamanya,” katanya.

Afdlin juga menegaskan bahawa keputusan untuk tidak mendedahkan wajah Inayah kepada umum adalah berlandaskan prinsip privasi yang dipegang sejak dulu lagi.

“Saya rasa mungkin bila dia dah berusia lebih dua tahun, barulah saya akan dedahkan wajahnya.

“Ramai yang suka kongsikan gambar bayi sejak lahir, mungkin sebab nak cari penaja dan sebagainya. Tapi bagi saya, itu bukan cara saya membesarkan anak.

“Saya lebih mementingkan keselamatan dan privasi keluarga. Dunia hari ini penuh cabaran dan saya tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mereka. Cukuplah orang mengenali saya, bukan keluarga saya,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Marcella pada Ogos 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top