
Shaikh Salman (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Mohd Joehari pada Khamis. Foto: FAM
PRESIDEN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa memuji kejayaan berterusan serta perkembangan positif bola sepak Malaysia semasa pertemuan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub pada Khamis.
Shaikh Salman turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Joehari atas pelantikan beliau memegang jawatan tersebut bagi menggantikan presiden terdahulu Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Beliau juga memuji permulaan cemerlang skuad Harimau Malaya aksi Kelayakan Piala Asia AFC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F bulan lalu.
Shaikh Salman menegaskan hubungan erat antara AFC dan FAM yang telah terjalin sekian lama, serta mengiktiraf peranan penting Malaysia sebagai tuan rumah tetap bagi ibu pejabat bola sepak Asia sejak tahun 1965.
“Sejarah AFC dan bola sepak Malaysia amat berkait rapat. AFC sentiasa menghargai pemimpin Malaysia atas sumbangan besar mereka terhadap perkembangan bola sepak Asia.
“Kami menghargai hubungan rapat dengan FAM dan berharap mereka terus memanfaatkan pelbagai kelebihan yang ditawarkan oleh AFC melalui dana pembangunan dan program-program inovatif kami,” katanya.
Shaikh Salman turut menyentuh tentang impak besar pelbagai inisiatif yang dirangka khas oleh AFC untuk negara anggota, termasuk projek-projek meliputi aspek teknikal, pengadilan dan pembangunan yang kini sedang dimanfaatkan oleh FAM bagi memperkukuh lagi arena bola sepak di Malaysia.
Sementara itu, Mohd Joehari turut mengiktiraf kerjasama kukuh serta hubungan jangka panjang antara AFC dan keluarga bola sepak Malaysia, selain menyatakan hasrat FAM untuk memaksimumkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan oleh AFC.
Beliau juga berkongsi perancangan FAM untuk terus membangunkan bola sepak tanah air melalui pelbagai projek strategik di seluruh negara.