BANK digital Islam pertama Malaysia, AEON Bank memperkenalkan Mobile Security Platform (MSP) bagi meningkatkan keselamatan dan perlindungan terkini untuk aplikasi mudah alihnya.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha melindungi data pelanggan.
Menurutnya, MSP AEON Bank berfungsi memantau potensi ancaman dan perisian hasad serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan integriti aplikasi perbankan digitalnya.
“Perlindungan data pelanggan adalah keutamaan utama AEON Bank sebagai sebuah bank digital sepenuhnya.
“Teknologi perlindungan MSP memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman perbankan digital yang selamat dan dipercayai.
“Keutamaan kami ialah untuk memastikan pelanggan terus menggunakan aplikasi AEON Bank dengan selamat dan yakin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, menurut Raja Teh Maimunah, sekiranya peranti dikesan telah terjejas, pihak AEON Bank akan memaklumkan perkara itu kepada pengguna sekali gus akses aplikasi dinyahaktifkan buat sementara waktu.
Tambah beliau, langkah keselamatan itu dilaksanakan bagi mencegah kecurian data, pelanggaran keselamatan dan risiko akses tanpa kebenaran.
Melalui fungsi tersebut, katanya, AEON Bank tidak mengumpul, memproses atau menyimpan sebarang maklumat peribadi daripada peranti pelanggan.
“Kami turut menggunakan pendekatan berlapis seperti Pengesanan Ancaman dan Pemberitahuan, Panduan Penyelesaian dan Akses Semula yang Selamat.
“Pengesanan ancaman dan pemberitahuan akan dibuat sekiranya peranti telah dipecah masuk dan pelanggan akan menerima amaran keselamatan dalam aplikasi,” ujarnya.
Raja Teh Maimunah berkata, pelanggan boleh mendapatkan semula akses dengan menghapuskan ancaman keselamatan yang dikesan atau melaraskan tetapan peranti mereka.
Jelasnya, setelah isu tersebut diselesaikan, pelanggan boleh melancarkan semula atau memuat turun semula aplikasi itu untuk menggunakan kembali perkhidmatan perbankan digital dengan selamat.
Tambah beliau, walaupun AEON Bank melancarkan teknologi keselamatan terkini bagi melindungi pelanggannya, namun digalakkan pengguna menyemak kebenaran aplikasi secara berkala.
Katanya, perkara itu penting bagi mengesan sebarang peningkatan bil telefon yang luar biasa atau tidak dijangka.
“Untuk keselamatan yang lebih baik, disyorkan agar peranti dikembalikan kepada tetapan asal kilang. Pelanggan dinasihatkan untuk membuat salinan data telefon sebelum berbuat demikian.
“Pelanggan digalakkan untuk periksa baki akaun dan penyata dengan kerap serta laporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Khidmat Pelanggan AEON Bank dengan segera.
“AEON Bank bertekad dalam misi untuk menyediakan pengalaman perbankan digital lebih selamat dipercayai dan patuh syariah kepada rakyat Malaysia,” katanya.