am@hmetro.com.my
Shah Alam: Mana-mana premis penternakan ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, Kuala Langat yang sudah dikompaun tiga kali perlu ditutup.
Gesaan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah susulan bantahan penduduk ke atas premis yang didakwa menjadi punca ribuan lalat mengganggu mereka di Kampung Ladang Batu sejak tiga tahun lalu.
“Sebelum ini pihak kami sudah memanggil semua agensi seperti veterinar, pihak berkuasa tempatan, jabatan alam sekitar, pejabat tanah, semua penternak serta wakil penduduk untuk bersemuka berbincang mengenai isu ini.
“Satu solusi diambil (ketika itu) bahawa tindakan boleh diambil kepada (premis penternakan) yang tidak mengikut peraturan.
“Jadi, mana-mana (premis penternakan) yang sudah didenda atau dikompuan tiga kali, premis penternakan itu perlu ditutup.
“Tindakan tegas ini perlu ada, kalau tidak pengusaha main-main, bagi mereka ini bukan isu berat,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu yang membelenggu penduduk di kampung terbabit yang juga kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pembukaan Semula Muzium Sultan Alam Shah, di sini, hari ini.
Beliau mengakui sebelum ini pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan penternak serta memberi pendedahan kepada mereka untuk beroperasi mengikut ketetapan.
“Kita beri pendedahan bagaimana (pengusaha premis penternakan) hendak ‘maintain’, contohnya semburan racun yang boleh digunakan. Tetapi sekejap sahaja dipraktikkan.
“Kita tiada halangan (penternak) mengusahakan penternakan tetapi kena jaga sensitiviti masyarakat di situ. Penternak perlu ambil berat masalah penduduk di kawasan itu,” katanya.
Menurutnya, di kawasan berkenaan terdapat 11 premis penternakan ayam.
Kelmarin, media melaporkan kehidupan 104 keluarga di kampung itu terganggu dengan hurungan ribuan lalat sejak tiga tahun lalu.
Bukan hanya di meja makan dan tandas, kehidupan seharian penduduk ketika melakukan aktiviti harian termasuk tidur, rehat atau solat turut terganggu sehingga ada lalat memasuki rongga hidung dan telinga.
Penduduk berkata, keadaan tidak selesa dan merimaskan itu berlanjutan sejak tiga tahun lalu dipercayai berpunca dari sebuah premis penternakan ayam berhampiran kediaman mereka.sufi945
© New Straits Times Press (M) Bhd