Aduan pembuangan sisa babi: JPVNS laksana proses nyah kuman

Aduan pembuangan sisa babi: JPVNS laksana proses nyah kuman

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) telah melaksanakan proses nyah kuman di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Port Dickson susulan pengesanan berlakunya pembuangan sisa babi di lokasi terbabit pada 13 Februari lalu. 

JPVNS dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu bagi mengelakkan penyebaran penyakit haiwan berkenaaan merebak di kawasan sempadan khususnya di Selangor selain menghalang aktiviti pemindahan babi secara haram di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, JPVNS menerima aduan daripada orang ramai berkaitan bau busuk dan potensi risiko kesihatan akibat pembuangan sisa babi itu.

“Hasil siasatan pihak jabatan, mengesahkan kewujudan beberapa lubang yang digali untuk tujuan tersebut di kawasan berkenaan.

“Susulan itu, satu pertemuan antara JPVNS dengan Ketua Kampung Taman Jimah Indah diadakan dan hasil pemeriksaan pada hari yang sama, mendapati beberapa lubang digunakan untuk menanam sisa babi dan terdapat sisa yang ditarik keluar oleh haiwan liar.

“Ketua kampung terbabit diminta untuk menasihatkan pemilik tanah agar menutup lubang dengan segera bagi mengelakkan penyebaran penyakit yang berpotensi disebabkan oleh haiwan liar yang memakan atau menarik sisa babi berkenaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, meskipun tiada undang-undang yang secara langsung mengawal aktiviti pembuangan sisa babi secara haram, langkah-langkah sanitasi dan pemantauan terhadap pemindahan babi tanpa permit tetap dilaksanakan.                                                                                                 

“Pemeriksaan lanjut seterusnya dilakukan dan kemudian mendapati lubang yang mengandungi sisa babi termasuk lubang kosong yang belum digunakan, telah ditutup sepenuhnya

“Hasil soal siasat dengan ketua kampung terbabit, sisa babi berkenaan dipercayai dibuang oleh individu yang disyaki warga tempatan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pada 14 Februari lalu, perbincangan telah diadakan di lokasi kejadian membabitkan pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Choo Ken Hwa untuk mencari penyelesaian.

“Susulan itu, JPVNS negeri telah mengeluarkan amaran tegas kepada pemilik tanah agar tidak mengulangi kesalahan dan memberi penegasan bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya kejadian serupa berulang.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasa JPVNS di kawasan sempadan Selangor-Negeri Sembilan. Jabatan ini akan terus melakukan pemantauan bagi mengelakkan penyebaran penyakit haiwan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top