Adabi rai lebih 1,000 Orang Asli di Serendah

Adabi rai lebih 1,000 Orang Asli di Serendah

RAWANG: Lebih 1,000 pendu­duk Kampung Orang Asli Serendah di sini diraikan oleh Syarikat Adabi Consumers Industry Sdn. Bhd. (Adabi) dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara aktiviti dilakukan yang turut melibatkan 30 ka­ki­tangannya dan 120 rakan kor­porat termasuklah bergotong-royong membersih dan mem­baiki pelbagai kemudahan di kampung tersebut meliputi surau dan klinik komunitinya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Syed Mahadzir Syed Manshor, Adabi turut menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan yang dimasak secara rewang oleh peserta dan kakitangan menggunakan bahan-bahan keluaran syarikatnya.

“Kita mengadakan gotong-royong di sini setelah pihak kami meninjau dan mendapati banyak kemudahan-kemudahan yang ada di sini memerlukan pembaikan.

“Kita bersama rakan korporat membersih dan memperbaiki bahagian bangunan Surau Al-Ikhlas, klinik komuniti dan perpustakaan yang rosak seperti bumbung,” katanya ditemui ketika menghadiri program tersebut semalam.

Tambahnya, selain di Kampung Orang Asli Serendah, program CSR Adabi kembali dite­ruskan di tempat lain seperti mana biasa dilaksanakan sebelum pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Syed Mahadzir turut memaklumkan Adabi kini memasarkan dua pro­duk baharu iaitu perencah sambal tumis ikan bilis dan pe­rencah sambal tumis makanan laut.yang sudah berada di pasaran sejak bulan Mac lalu.

“Seperti yang telah dirancang pada tahun 2022-2023 Adabi akan terus mengeluarkan produk terbaru yang lebih berkualiti dan terus menjadi pilihan semua isi rumah di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top