Ada tiga hari saja untuk berehat dan raikan kemenangan

Ada tiga hari saja untuk berehat dan raikan kemenangan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuching: Antara mengejar cita-cita dan mahu mengharumkan nama negeri di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak menyebabkan pemanah Terengganu Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki hanya mempunyai tiga hari saja berehat sebelum melapor diri di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Raja Melewar, Isnin ini.

Atlet berusia 18 tahun itu yang meraih dua emas dan satu perak di pentas Sukma Sarawak tidak mempunyai masa panjang untuk ‘bersenang-lenang’ kerana perlu memberi tumpuan mengejar cita-cita sebagai guru pendidikan jasmani.

Muhammad Aiman Syafiq bersama dua lagi rakannya, Muhammad Amiruddin Zulkifli dan Muhammad Hazmi Aisar Azmi sebelum itu meraih emas dalam acara compound berpasukan lelaki selepas menewaskan Sabah 226-221.

“Cita-cita saya memang nak jadi cikgu kerana ibu saya juga seorang guru. Saya ambil inspirasi daripada ibu dan selepas ini saya akan masuk IPG di Seremban dalam bidang pendidikan jasmani.

“Kalau saya bukan seorang pemanah, saya mungkin seorang guru kerana sebelum ini saya tidak pernah terfikir tentang sukan memanah. Segalanya bermula selepas kawan ibu saya ajak saya bermain dalam sukan ini.

“Apa pun saya tetap gembira untuk menghadirkan kejayaan buat kontinjen Terengganu,” kata Muhammad Aiman Syafiq.

Wakil Sabah terdiri daripada Aloysius Gabriel Liew, Muhammad Irfan Sobrun Masahudi dan Nathaniel Tan Zhi We membawa pulang perak dalam acara itu.

Pingat gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan dibarisi Afiq Zufar Mohamad Shah, Muhamad Rayn Hamka dan Muhammad Faiq Azim Shahrir selepas menumpaskan wakil Melaka Aniq Faris Azmin Fadli, Muhammad Zul Adzrin Zainuddin serta S Praveen menerusi pungutan mata 222-219.

© New Straits Times Press (M) Bhd