ACLE: JDT kaut RM1.3 juta lagi, keseluruhan RM6.2 juta

ACLE: JDT kaut RM1.3 juta lagi, keseluruhan RM6.2 juta

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus terbang tinggi apabila mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan menumpaskan Pohang Steelers, 5-2, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu sudah pastinya bukan hanya semakin hampir berpeluang bertemu kelab bintang terkemuka, Cristiano Ronaldo iaitu Al Nassr jika berjaya melepasi pusingan 16 terbaik, malah turut membawa pulang jutaan ringgit apabila berada dalam kelompok itu.

Berdasarkan kepada situasi semasa, kejayaan menumpaskan Pohang Steelers membolehkan Harimau Selatan meraih RM444,000 sebagai hadiah kemenangan dan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati menyaksikan mereka mendapat ganjaran RM889,000.

Secara keseluruhan selepas menamatkan saingan ACLE musim ini di tangga keempat kumpulan, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu sebenarnya sudah menghimpun wang ganjaran bernilai RM6.2 juta.

Pada awal kempen, mereka menerima RM3.5 juta selepas layak menyertai saingan tertinggi bola sepak Asia itu dan setiap kemenangan di peringkat kumpulan membolehkan mereka mendapat wang ganjaran RM444,000.

Mereka menghimpun empat kemenangan daripada lapan perlawanan, sekali gus menjadikan mereka mengutip RM1.7 juta susulan kemenangan ke atas Shanghai Shenhua, Ulsan HD, Central Coast Mariners dan kemenangan terbaharu ke atas Pohang Steelers.

Jumlah ini tidak termasuk subsidi perjalanan sebanyak RM222,000 yang diberikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada semua pasukan yang bertanding.

Sebagai rekod, ini kali kedua JDT mara ke pusingan kalah mati pertandingan itu selepas kali pertama pada musim 2022, namun mereka dibelasah wakil Jepun, Urawa Red Diamonds 0-5, sekali gus meleburkan impian untuk ke suku akhir.

Pada aksi pusingan 16 terbaik nanti, mereka akan berentap dengan kelab Korea Selatan, Gwangju FC yang sebelum ini pernah menewaskan mereka 1-3 pada aksi peringkat kumpulan Oktober lalu.

Mereka berpeluang menambah lagi wang ‘besar’ sebanyak RM1.7 juta sekiranya layak ke suku akhir dan RM2.6 juta jika meneruskan kemaraan sehingga ke separuh akhir.

Juara ACLE pula bakal menerima RM44 juta sementara naib juara membawa pulang RM17 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top