Abang Syukor dah kemas

Abang Syukor dah kemas

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Arau: Biarpun tidak mengenali rapat, dua sahabat, Syamsul Azri Kopli dan Rashidi Rashid sanggup membawa seorang lelaki yang kurang terurus untuk memperkemaskan penampilan termasuk memotong rambutnya.

Kisah usaha mereka itu dikongsikan Syamsul Azri, 34, menerusi video dimuat naiknya di TikTok yang meraih lebih 800,000 tontonan.

Menerusi video itu, rambut Syukor yang asalnya panjang dipotong dan dirapikan hingga kemas.

Bercerita lanjut, Syamsul Azri berkata, dia dan Rashidi, 39, bertemu dengan Syukor tidak jauh daripada kedai gunting rambut miliknya di sini pada Sabtu lalu.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan abang Syukor (nama panggilan) pada Januari tahun lalu kerana kebetulan dia lalu depan kedai saya.

“Justeru, saya ajak abang Syukor masuk ke kedai kerana waktu itu pun, pelanggan kurang.

“Saya pula memang berniat tolong gunting rambutnya dan siapa saja yang lalu depan kedai waktu itu, jadi buat sehabis baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syamsul Azri berkata, selepas pertemuan pertama itu, dia tidak lagi berjumpa dengan Syukor di sekitar kawasan kedai gunting rambutnya.

“Saya pun tak mencarinya tapi waris abang Syukor ada hubungi saya maklumkan tempat tinggalnya selepas menonton video dimuat naik di TikTok.

“Kiranya sudah setahun tak jumpa abang Syukor dan rezeki saya baru-baru ini apabila terserempak dengannya tak jauh daripada kedai gunting rambut kawan saya.

“Tapi saya ajak abang Syukor ke bengkel motosikal rakan saya dulu untuk mandi dan pergi makan kemudian baru membawanya ke kedai gunting rambut.

“Dia masih ingat saya rupanya, cuma tak dia tak bercakap banyak, jawab pun sepatah sepatah. Tapi sebelum dia beredar, saya sempat memberinya baju dan selipar baru,” katanya.

Menurut Syamsul Azri, dia gembira kerana dapat bertemu semula dengan Syukor dan membantu lelaki berkenaan kerana sudah lama menunggu detik itu.

“Selepas kedatangannya ke kedai gunting rambut saya tahun lalu, pelanggan saya bertambah dan rezeki tak putus.

“Alhamdulillah, namun niat saya kongsi video abang Syukor baru-baru ini bukan untuk tularkan atau meraih perhatian, tapi mahu ajak orang lain berbuat baik.

“Saya ada baca juga komen netizen, ramai yang positif dan minta saya buat lagi. Saya pun cuba bantu dengan apa yang ada kerana banyak cara pun nak tolong. Kalau tak ada duit, boleh bantu sumbang tenaga,” katanya.

Katanya, bukan hanya Syukor, malah dia juga sedia membantu meringankan beban insan lain terutama pelanggan yang datang ke kedai gunting rambutnya.

“Selain cari rezeki, niat saya buka kedai gunting rambut dua tahun lalu adalah untuk bantu orang juga.

“Contohnya untuk penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), saya beri potongan rambut percuma selepas lima kali datang ke kedai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top