mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuching: Cinta pandang pertama. Itu boleh disimpulkan terhadap atlet Sarawak, Joey Tan Xing Lei yang hanya mengikuti abangnya menyertai memanah namun tidak menyangka tindakan itu membuka ruang untuk berkecimpung secara serius dalam sukan terbabit.
Keputusan yang diambil untuk menyertai memanah sejak berusia 10 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Xing Lei membawa pulang pingat emas dalam acara recurve 70 meter (m) wanita yang berlangsung di Lapang Sasar Memanah, hari ini.
Kehebatan pemanah berusia 17 tahun itu sukar digugat apabila secara keseluruhan mengutip 645 mata sekali gus meninggalkan jauh pencabar lain.
Wakil Selangor, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli memperoleh perak selepas mengutip 629 mata manakala gangsa milik peserta Terengganu, Nurul Syakirah Hashim (610 mata).
Xing Lei yang ditemui sebaik tamat acara terbabit mengakui bahawa pengorbanan untuk mengapai pingat emas bukanlah mudah apabila terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan komitmen terhadap latihan memanah.
“Abang membawa saya melihat sukan memanah secara lebih dekat. Ketika itu tidak terlintas untuk terbabit secara serius dalam sukan itu.
“Ini adalah penyertaan kali ketiga di temasya Sukan Malaysia (Sukma). Pada edisi terdahulu pada 2022 membawa pulang tiga emas satu perak.
“Jika diikutkan sememangnya tekanan kerana perlu menyamai atau mengatasi pencapaian terdahulu,” katanya.
Sementara itu, bagi kategori recurve 70 meter lelaki menyaksikan emas milik wakil Terengganu, Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan manakala perak dimenangi atlet Pahang, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi dengan masing-masing berkongsi 656 mata.
Wakil tuan rumah, Liew Yu Jie terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa walaupun satu ketika dia mendahului saingan pada set pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd