'Abang long pengganti ayah dan ibu kami'

'Abang long pengganti ayah dan ibu kami'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Abang long cekal dan tabah menjaga kami tiga beradik selepas ibu bapa meninggal dunia kira-kira tiga dan dua tahun lalu,” kata anak yatim piatu, Norasma Syahida Wan Muhammad, 12.

Norasma berkata, abang sulungnya, Mujahid, 24, menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga dia dan dua lagi kakak serta abang dalam kedaifan selepas ibu bapa meninggal dunia.

Dua lagi abang dan kakak Norasma ialah Mujahidah, 17 dan Asmat, 16.

Ibu mereka, Khamsiah Besar, 50, meninggal dunia selepas menghidap barah pada Oktober 2022 selang setahun, bapa, Wan Mohd Wan Long, 60, meninggal dunia akibat penyakit kemurungan.

Norasma yang belajar di Madrasah Al-Muhsinat di Kampung Losong Haji Shafie berkata, Aidilfitri yang akan disambut akhir bulan ini adalah tahun ketiga dan kedua tanpa kehadiran ibu bapa.

“Walaupun tanpa belaian ibu bapa, kami bersyukur kerana mempunyai seorang abang yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih Ramadan anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), semalam.

Dia antara 100 anak asnaf daripada Parlimen Kuala Terengganu dibawa membeli-belah pakaian sebagai persiapan menyambut Aidilfitri akhir bulan ini.

Selain membeli pakaian raya, Norasma dan anak asnaf turut diraikan pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di bandaraya Kuala Terengganu.

Turut mengiringi Norasma dan 99 anak asnaf adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Muhtar Suhaili.

Sementara itu, Muhtar berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi membantu meringankan keluarga 170 anak asnaf daripada daerah Kuala Terengganu dan Kemaman membuat persiapan menghadapi Aidilfitri.

“Program jalinan Kasih Ramadan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha bagi membantu golongan memerlukan menyemarakkan semangat kebersamaan menyambut Aidilfitri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top