Abang Adik lakar sejarah lagi, terima pengiktirafan ASEAN Records

Abang Adik lakar sejarah lagi, terima pengiktirafan ASEAN Records

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah filem Abang Adik, Jin Ong menyifatkan kejayaan filem itu yang mencipta sejarah sebagai filem berbahasa Cina pertama menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai penamat yang cukup sempurna.

Pencapaian itu diterima Abang Adik selepas berjaya menarik perhatian pada festival filem antarabangsa sejak 2023 dengan membawa pulang 28 anugerah antarabangsa serta menerima 69 pencalonan dalam pelbagai festival filem di seluruh dunia.

Jin Ong berkata, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi hasil usaha keras berpasukan.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat penting, termasuk pelakon dan seluruh kru produksi.

“Projek ini sudah berlangsung selama dua tahun dan dipersembahkan di banyak festival. Saya sangat berbangga kerana akhirnya ia menjadi sebuah penamat yang sempurna setakat ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Jin Ong, dia percaya filem Abang Adik mampu menjadi suara yang mewakili Malaysia apabila filem itu terus menjadi sebutan dan meraih perhatian pihak luar.

“Saya amat berbangga kerana Abang Adik dapat mewakili negara ini di peringkat antarabangsa. Ini adalah sesuatu yang amat penting bagi saya.

“Apabila saya menghadiri festival di Eropah, saya jumpa banyak orang yang sebelum ini mungkin tidak tahu kewujudan Malaysia, tetapi melalui filem ini, mereka mula ambil tahu. Memang menakjubkan.

“Kadangkala kita tidak sedar dengan menghasilkan filem, kita sebenarnya memberi impak yang besar kepada orang ramai,” katanya.

Dalam masa sama, Jin Ong, meluahkan rasa teruja apabila filem yang dibintangi Wu Kang Ren dan Jack Tan itu kini ditayangkan di Jepun.

“Saya baru saja pulang dari Tokyo, Jepun untuk menghadiri temu bual bersama media di sana.

“Saya juga dimaklumkan filem kita mendapat maklum balas positif penonton memandangkan tidak banyak filem Malaysia ditayangkan di negara itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top