am@hmetro.com.my
Gerik: Perjalanan pulang lima sekeluarga dari menziarahi saudara uzur menjadi pengalaman tidak boleh dilupakan apabila kereta dinaiki dihampiri dan diserang oleh kawanan tujuh ekor gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, semalam.
Pengalaman itu dikongsikan Nur Izzatie Zulkifli, 30, yang menempuh detik mencemaskan bersama suami, bapa, kakak, dan adiknya.
Katanya, kejadian berlaku jam 6.57 petang Sabtu beberapa kilometer sebelum sampai di Pulau Banding.
Menurutnya, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Ketereh, Kelantan selepas menziarahi saudara di Sungai Petani, Kedah.
Menceritakan saat kejadian, katanya, keadaan lebih cemas apabila bapanya berusia 65 tahun yang menghidap sakit jantung kelihatan sukar bernafas, selain kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) panik.
“Situasi cukup mendebarkan yang mana di luar gajah berada hampir kereta kami, sementara di dalam kereta kami berdepan keadaan abah dan kakak yang sesak nafas dan cemas melampau.
“Dalam fikiran saya hanya fikir mana nak cari klinik untuk abah.
“Namun, selepas seketika kawanan gajah itu mula menjauh, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti berehat di tempat selamat.
“Alhamdulillah abah dan kakak dapat ditenangkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nur Izzatie berkata, mereka menjadi mangsa keadaan dalam situasi itu kerana kereta di hadapan mereka memecut laju ketika dihampiri kawanan gajah itu.
Lebih malang, katanya, kereta di belakang mereka menyalakan lampu ‘hazard’ yang mungkin mengejutkan kumpulan gajah.
“Suami terpaksa menghentikan kereta selepas seekor gajah menghampiri, ia kelihatan agresif dan seakan ingin menyerang.
“Ketika berhenti kami tidak hanya mendiamkan diri di dalam kereta selain mematikan pendingin hawa untuk mengelakkan sebarang bunyi.
“Apabila ia (gajah) datang sekawanan, kumpulan itu ‘tutup’ cermin sisi kereta dan menggoncang kereta kami.
“Kawanan itu menggoncang dan tekan di bahagian tayar depan sehingga kemek di bonet hadapan kereta,’ katanya yang menyifatkan itu pengalaman pertama kali dalam hidupnya apabila berdepan gajah.
Menurutnya, mereka cukup berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melalui kawasan itu yang juga kawasan habitat gajah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden kereta rosak akibat gajah.
© New Straits Times Press (M) Bhd