KUALA LUMPUR: Satu demi satu beregu handalan dunia tersingkir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 dan hari ini, giliran beregu No. 6 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan pilihan kelima tumbang di pusingan kedua di Axiata Arena.
Gandingan No. 2 negara itu tewas straight set 14-21, 18-21 kepada pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dalam masa 47 minit.
Kegagalan Aaron-Wooi Yik tersingkir seawal pusingan kedua mengulangi keputusan buruk yang mereka lakar pada edisi 2023, manakala, Terbuka Malaysia 2022 masih kekal menjadi pencapaian terbaik beregu lelaki tersebut.
Selain Aaron-Wooi Yik, beregu handalan dunia yang turut tersingkir ialah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (No. 1 dunia), Liang Wei Keng-Wang Chang (No. 2 dunia), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (No. 3 dunia) dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (No. 4 dunia).
Aaron ketika ditemui selepas perlawanan berkata, dia dan Wooi Yik kerap melakukan kesilapan sehingga banyak menghadiahkan mata kepada lawan khususnya dalam set pertama.
“Kami gagal menghadirkan tekanan kepada lawan dan beregu Taiwan itu pula bermain dengan cukup tenang, kami terlalu mudah bagi mata kepada mereka,” kata Aaron.
Turut mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan kedua ialah beregu lelaki profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang tunduk kepada pilihan ketujuh, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 15-21, 15-21 dalam masa 42 minit.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, wakil tunggal Malaysia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut tersingkir pada pusingan kedua selepas tewas mudah kepada pilihan pertama, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 6-21, 5-21 dalam masa 30 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Vivian Hoo melakukan penampilan terakhirnya dan akan menggantung raket selepas lebih sedekad menghambakan diri di dalam sukan badminton.
Pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel 2014 (Glasgow, Scotland) bergandingan dengan Woon Khe Wei dan berpasukan campuran serta temasya 2018 (Gold Coast, Australia) bersama Chow Mei Kuan itu menerima jambangan bunga daripada peminat sebaik perlawanan berakhir.
Selain pencapaian di Sukan Komanwel, Vivian-Khe Wei yang pernah berada di ranking No. 9 dunia turut meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan emas Sukan SEA 2013 di Myanmar.
Sekalipun tewas, Vivian tetap menerima tepukan gemuruh daripada peminat tempatan yang hadir menyaksikan Terbuka Malaysia di Axiata Arena.
“Saya bercadang untuk membuka sebuah kelab badminton di Balakong, Kuala Lumpur selepas bersara, harapan saya untuk membantu melahirkan lebih ramai pemain wanita yang pada anggapan saya masih kekurangan di negara kita,” kata Vivian kepada pemberita selepas tamat perlawanan, hari ini. – UTUSAN