Aaron-Wooi Yik mara, Sze Fei-Izzuddin tersingkir

Aaron-Wooi Yik mara, Sze Fei-Izzuddin tersingkir

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, hari ini.

Aaron-Wooi Yik mengambil masa selama 30 minit untuk mengetepikan cabaran daripada pemain Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dengan kemenangan 21-16, 21-11 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Pasangan nombor enam dunia itu dijadual bertemu wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi separuh akhir kejohanan esok.

Wei Keng-Chang mara selepas pasangan ketiga terbaik dunia itu menewaskan Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin dari Indonesia dengan kemenangan 21-19, 21-19.

Berdasarkan rekod, pasangan dari China itu memiliki kelebihan apabila mencatat lapan kemenangan daripada 10 rekod pertemuan menentang Aaron-Wooi Yik.

Dalam pada itu, situasi berbeza apabila satu lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 16-21, 21-18, 20-22.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada pasangan No. 2 dunia itu apabila tidak memberi laluan mudah selepas Bo Yang-Yi terpaksa bekerja keras selama satu jam tujuh minit sebelum mengesahkan kemenangan.

Sze Fei-Izzuddin cuba bangkit pada set penentuan apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 9-15 namun usaha mereka tidak cukup untuk menghalang kemaraan Bo Yang-Yi. – UTUSAN

Scroll to Top