Aaron-Wooi Yik kempunan lagi

Aaron-Wooi Yik kempunan lagi

Aaron-Wooi Yik gagal menyaingi kemampuan Wei Keng-Wang Chang dalam perlawanan akhir Terbuka China.

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan untuk meraih gelaran juara sulung saingan Jelajah Dunia BWF selepas tewas kepada wakil tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang di Terbuka China pada Ahad.

Aksi serba tidak menjadi dipamerkan gandingan negara yang terpaksa tunduk straight set 12-21, 14-21 kepada pilihan ketiga kejohanan itu di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara buat kali ketiga selepas turut kecundang di pentas final pada Terbuka India dan Terbuka Indonesia.

Sebelum ini, pasangan negara yang juga berada di ranking keenam dunia itu melakar perjalanan sempurna termasuk menumbangkan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM327,355).

Satu-satunya wakil negara dalam acara beregu memenangi kejohanan di Terbuka China adalah pada edisi 1989 menerusi Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek.