Aaron-Wooi Yik belum pasti sertai BAC

Aaron-Wooi Yik belum pasti sertai BAC

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, memaklumkan bahawa beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, belum pasti sama ada akan beraksi atau sebaliknya di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Jelasnya, ketika ini, barisan jurulatih akan melihat perkembangan semasa terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada bekas juara dunia itu akan diturunkan atau akan direhatkan bagi memastikan Aaron benar-benar pulih daripada kecederaannya.

“Apa yang boleh saya katakan, kita akan menunggu keputusan penuh daripada fisioterapi. Kita mengambil berat mengenai situasi ini sama ada bersedia untuk bermain di BAC atau Piala Sudirman,” katanya.

Kejohanan BAC akan berlangsung di Ningbo, China, dari 8 hingga 13 April.

Tambahnya, beliau juga akan berhubung dengan pasukan fisioterapi untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai status kecederaan Aaron itu, sama ada ia benar-benar serius atau sebaliknya.

Selain itu, jurulatih kelahiran Indonesia itu memaklumkan bahawa kecederaan Aaron bukan perkara baharu, sebaliknya ia berlaku semasa pertandingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Untuk rekod, pada kejohanan yang sama tahun lepas, Aaron-Wooi Yik berjaya mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sebelum ini, beregu nombor dua negara itu dimalukan oleh gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, 16-21, 21-16, 18-21, dalam masa 64 minit.

Sebagai makluman, dua aksi terakhir di All England dan Orleans Masters, wakil negara itu tersingkir seawal pusingan pertama, manakala rekod terbaik setakat ini, beregu nombor lima dunia itu berjaya mara ke separuh akhir di Indonesia Masters dan Terbuka India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top