Aaron-Wooi Yik, Azizulhasni dinobat Olimpian negara

Aaron-Wooi Yik, Azizulhasni dinobat Olimpian negara

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sensasi apabila kali pertama dinobatkan sebagai Olimpian untuk musim 2024 pada Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) edisi ke-27.

Pada majlis berkenaan, jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang juga turut diraikan sebagai pemenang Olimpian 2020 berdasarkan pencapaian cemerlangnya meraih perak di temasya Olimpik Tokyo.

Anugerah yang bertujuan menghargai pencapaian terbaik atlet negara yang bertanding dalam semua acara sukan dengan kali terakhir dianjurkan pada 2019.

Situasi terbabit disebabkan pandemik Covid-19 yang meninggalkan impak sehingga pelbagai temasya sukan tergendala, MOM memutuskan untuk menunda Anugerah Tahunan itu dengan menunggu selesainya kitaran Olimpik 2020-2024.

Tahun 2024 juga seiring dengan ulang tahun ke-70 MOM diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Anugerah Olimpian Tahunan menjadi kemuncak di samping Anugerah Wanita dan Sukan

MOM serta Induksi ke Dewan Kemasyhuran MOM.

Sementara itu, bagi Anugerah Wanita dan Sukan, MOM memilih Tang Kwai Mae atau lebih dikenali sebagai Mae Chen dalam komuniti sukan akuatik, sebagai penerima anugerah ini.

Dengan hampir dua dekad sumbangan dalam sukan akuatik, beliau diiktiraf sebagai penerima ke-18 anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2003.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top