Aaron Chia, Sydney dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

Aaron Chia, Sydney dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

MELAKA: Pemain beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dinobatkan sebagai Olahragawan manakala jaguh wushu wanita, Sydney Chin Sy Xuan diumumkan sebagai Olahragawati Melaka 2022/2023 pada Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-38 di Ayer Keroh di sini, semalam.

Kemenangan Aaron sudah diduga atas kejayaan meraih pingat gangsa ketika berpasangan dengan Soh Wooi Yik di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Anak kelahiran Melaka itu turut mencatat pencapaian cemerlang meraih pingat emas Kejohanan Dunia 2022 serta memperoleh emas dan gangsa di temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Beliau menewaskan empat calon iaitu Tan Zhi Yan, 22, (wushu); Jonathan Guang Jie, 30, (menembak); Wan Muhammad Mohd. Sabri Wan Mohd. Zuki, 20, (memanah) dan Juwaidi Mazuki, 32, (memanah).

Aaron turut menerima insentif berjumlah RM23,000 selepas memenangi dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia Copenhagen, Denmark dan Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Sementara itu, Sydney, 24, dipilih Olahragawati atas kejayaannya meraih pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi 2021 dalam acara taijiquan.

Beliau menewaskan dua calon lain iaitu rakan sepasukannya Tammy Tan Hui Ling (wushu) dan Toh Ee Wei (badminton).

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua mereka menerima piala pusingan dan hadiah wang tunai RM3,000 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet berkenaan tidak hadir menerima anugerah tersebut kerana berada di luar negara bagi menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.

Sementara itu, atlet wanita angkat berat yang memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nurul Syasa Khairina Syamsur diumumkan Olahragawati Harapan dan atlet berbasikal, Muhammad Hafiq Mohd. Jafri dipilih sebagai Olahragawan Harapan. – UTUSAN