AADK siap siaga hadapi ancaman 'dadah zombie'

AADK siap siaga hadapi ancaman 'dadah zombie'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kajang: Meskipun tiada penagihan dadah sintetik berbahaya dikenali sebagai fentanyl atau ‘dadah zombie’, tindakan awal sudah diambil bagi membendung penyalahgunaan dadah itu di negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengambil pendekatan strategik dan menyeluruh untuk mencegah pengambilan dadah itu di negara ini.

“Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ancaman serius fentanyl yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan mula dikesan cuba diseludup ke negara ini.

“Fentanyl adalah sejenis opioid sintetik yang digunakan secara sah dalam bidang perubatan sebagai ubat tahan sakit yang sangat kuat.

“Namun dalam bentuk haram, ia amat berbahaya kerana 100 kali lebih kuat daripada morfin dan 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada heroin sehingga kesan dos kecil boleh membawa maut menjadikannya antara dadah paling berbahaya di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 di Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Ruslin berkata, Fentanyl yang juga dikenali sebagai ‘dadah zombi’ adalah ancaman baharu yang serius dalam landskap penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Menurutnya, AADK bersama agensi penguatkuasaan lain dan institusi akademik sedang giat mengambil langkah proaktif untuk mengekang kemasukan dan penyalahgunaan dadah itu demi keselamatan.

“Dalam menghadapi ancaman fentanyl yang sangat berbahaya, AADK perlu bertindak proaktif sebelum ia menjadi krisis seperti di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

“Antara tindakan diambil termasuk kempen kesedaran bersasar berkaitan bahaya fentanyl kepada masyarakat umum khususnya belia dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan latihan kepada pegawai AADK mengenai ciri penggunaan fentanyl, simptom dan langkah kecemasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta institusi penyelidikan.

“Pada masa sama, kami juga akan menyesuaikan modul rawatan dan pemulihan sekiranya kes penagihan fentanyl muncul dengan menyediakan protokol rawatan khas.

“Pendekatan ini penting memandangkan dadah sintetik berkenaan memerlukan rawatan lebih intensif dan kawalan risiko terlebih dos,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top