Tilawah johan kebangsaan bagi perkukuh didikan Islam

Tilawah johan kebangsaan bagi perkukuh didikan Islam

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan terus komited dalam meninggikan syiar Islam di Malaysia walaupun negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dengan memberi contoh pelbagai program berbentuk keislaman dipergiatkanĀ  di stesen penyiaran awam termasuk rancangan Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan yang disiarkan secara langsung selama 90 minit bermula pukul 9 malam sepanjang lima hari berturut-turut.

Rancangan khas berkenaan dipancarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM serta TV AlHijrah selain platform atas talian RTMklik dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menggantikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1442/2021 yang sepatutnya diadakan dari 13 Jun lalu selama enam hari di ibu negara namun terpaksa ditunda.

Ia menampilkan 14 qari dan 12 qariah bekas juara tilawah antaranya ialah Ahmad Tirmizi Ali, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohammad Badruzzaman dan Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Kali terakhir acara berkenaan berlangsung ialah pada awal tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah melibatkan 108 peserta sebelum seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Idris berkata, program julung kali berkenaan sebenarnya bermatlamat mengajak umat Islam agar sentiasa menekuni serta menghayati ayat suci dari kalam Allah, dalam keadaan masyarakat berdepan dengan krisis kesihatan akibat isu pandemik, al-Quran perlu menjadi sahabat setia yang mampu memberi ketenangan apabila dibaca.

Malahan ujar beliau, apabila kitab itu ditadabbur atau difahami tafsirannya, ia akan menyuntik perasaan keinsafan selain menjadi sumber ilmu penuh berfaedah untuk sepanjang zaman.

Beliau juga mengulangi keprihatinan kerajaan melalui pendekatan Keluarga Malaysia yang bertujuan bagi membawa mesej kebahagiaan keluar daripada fasa pandemik kepada endemik melalui peranan semua agensi hal ehwal Islam yang berganding bahu membangunkan semula masyarakat menerusi program pemantapan modal insan.

Justeru ujarnya, program tilawah bekas juara kebangsaan yang disiarkan itu dirancang bagi memperkukuhkan penghayatan nilai pendidikan masyarakat Islam khasnya generasi muda.

ā€œOleh itu umat Islam perlu kembali berpegang kepada ajaran al-Quran yang bukan setakat mengenai akidah dan akhlak, tetapi suluhan sumber lapangan kehidupan syumul,ā€ tegasnya ketika berucap pada majlis perasmian program itu.

Untuk malam pertama, empat peserta memperdengarkan bacaan mereka dengan ibrah pula disampaikan bersama Mohd. Hariri Daud dan Siti Nazirah Mohd. Yusof.

Turut disiarkan ialah persembahan selingan lagu berunsur dakwah oleh kumpulan nasyid terkenal, Rabbani dan penyanyi, Lah Ahmad serta zikir munajat dan doa kesejahteraan. ā€“ UTUSAN

Scroll to Top