BRASILIA: Ribuan penunjuk perasaan Orang Asli berhimpun di ibu negara Brazil menyertai protes sambil memegang senjata dan memakai kelengkapan tradisional.
Mereka melakukan bantahan itu ketika Mahkamah Tinggi memulakan kes yang bakal menghapuskan status tanah rizab nenek moyang Orang Asli di Brazil.
Mahkamah semalam memulakan sesi mempertimbangkan kes, yang akan menghapuskan status perlindungan tanah adat bagi membolehkan perniagaan agro tani dan perlombongan dijalankan.
Dianggarkan kira-kira 6,000 penunjuk perasaan berarak ke mahkamah, yang disifatkan penganjur sebagai bantahan Orang Asli terbesar di Brazil.
Penunjuk perasaan mewakili 170 kumpulan etnik itu juga memperjuangkan apa yang digelar mereka sebagai pendakwaan bersistematik di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro sejak pemimpin berhaluan kanan itu dilantik pada 2019.
Mereka turut mengadakan acara menyalakan lilin, menyanyi serta menari mengikut rentak gendang di perkarangan istana Presiden, Mahkamah Tinggi dan bangunan Kongres.
Sebahagian besar kes itu membabitkan perlindungan tanah Orang Asli dalam Perlembagaan Brazil.
Pelobi perniagaan agro tani mendakwa status perlindungan itu hanya terpakai ke atas tanah adat yang diduduki pada atau sebelum 1988, ketika Perlembagaan diguna pakai.
Aktivis Orang Asli pula mendakwa tiada sebarang tarikh ditetapkan dalam Perlembagaan dan penduduk asal sering dipaksa meninggalkan tanah nenek moyang mereka.
Kes membabitkan kawasan di Santa Catarina itu bakal menjadi duluan kepada puluhan kes sama membabitkan tanah adat di serata Brazil.
Bolsonaro sebelum ini memberi amaran bahawa kekecohan bakal berlalu sekiranya keputusan mahkamah tidak menyebelahi penetapan Perlembagaan 1988. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd