‘Jangan berhimpun ambil gambar, video lokasi kepala air’ – Utusan Digital

‘Jangan berhimpun ambil gambar, video lokasi kepala air’ – Utusan Digital

YAN: Orang ramai dinasihatkan tidak berhimpun untuk menyaksikan kesan akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai yang melibatkan beberapa kampung di sini bagi mengelakkan penularan Covid-19 terus berleluasa di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, ini kerana daerah ini masih lagi berada dalam zon merah.

Katanya, setakat ini pihaknya mengambil pendekatan untuk menasihati mana-mana pihak yang berhimpun supaya bersurai secara baik.

“Kita memang menerima aduan berhubung perkara itu dan telah menghantar pasukan untuk menyuraikan mereka. Usaha ini turut dibantu oleh Jabatan Penerangan dan petugas Kementerian Kesihatan.

“Perlu diingat, daerah ini masih berada dalam zon merah. Buat masa ini kita masih mengambil pendekatan untuk menasihat namun jika keadaan berlarutan atau ada pihak yang berdegil, tak mustahil kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini malam ini.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati orang ramai berhimpun sambil mengambil gambar dan video di beberapa kawasan tragedi itu.

Sementara itu jelas Shahnaz, pihaknya sentiasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan daerah ini terus dilanda hujan.

“Selain itu kami juga sentiasa membuat rondaan di kawasan berpotensi berlakunya kejadian seperti itu agar setidak-tidaknya dapat memberi amaran awal kepada penduduk mengenai apa yang bakal berlaku.

“Saya juga menasihatkan kepada penduduk supaya mengambil langkah awal dengan meletakkan dokumen penting di kawasan selamat,” katanya.

Scroll to Top