roha@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Gabungan Melayu ( GABUNG) mewakili 100 badan bukan kerajaan (NGO) mempersembahkan tiga cadangan yang sesuai dilaksanakan dengan kuasa Eksekutif Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan krisis politik tanah air.
Tiga cadangan itu adalah perisytiharan Darurat Politik Terhad untuk tempoh enam hingga lapan bulan sehingga imuniti kelompok berjaya dicapai dan pilihan raya umum (PRU) selamat diadakan, pembubaran Parlimen dengan serta-merta serta penubuhan Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara (PULIH).
GABUNG berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan jika kerajaan baharu tidak berjaya ditubuhkan selepas peluang diberi untuk memilih seorang Perdana Menteri atau sekiranya majoriti kuat tidak diperoleh bagi memilih seorang Perdana Menteri.
Katanya, pemilihan Perdana Menteri Kesembilan amat penting bagi menghasilkan gencatan politik, yang mana jika tidak diselesaikan dibimbangi menggugat pembangunan dan kemakmuran negara.
“Dengan kadar vaksinasi semasa yang cepat dan berkesan, jangkaan imuniti kelompok pada penghujung Oktober ini Insya-Allah akan dapat dicapai.
“Justeru, pelan pasca pandemik nasional yang baharu perlu digerakkan sebaik saja Perdana Menteri yang baharu dilantik,” kata GABUNG dalam kenyataan, hari ini.
GABUNG menyifatkan Yang di-Pertuan Agong sudah mengambil pendekatan yang adil serta bijaksana dalam memastikan kestabilan ‘Parlimen’ dan menjaga nasib rakyat.
“Kami menzahirkan ketaatan, sokongan dan penghargaan terhadap segala usaha Yang di-Pertuan Agong dan juga Raja-raja Melayu yang akan bermusyawarah esok.
“Terpaksa membabitkan diri lebih daripada kelaziman bagi menyelesaikan krisis politik yang belum pernah kita alami, dalam suasana pandemik yang belum pernah kita hadapi.
“Difahamkan baginda sudah berkenan menerima kesemua Surat Akuan Ahli Dewan Rakyat dan kita yakin kebijaksanaan baginda disokong Raja-raja Melayu akan berjaya menyelesaikan kemelut menentukan siapa yang memiliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan,” kata NGO itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd