Kontena e-waste dari AS diarah patah balik

Kontena e-waste dari AS diarah patah balik

bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kontena yang membawa masuk bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang ingin dilupuskan secara haram di negara ini pulang ke negara asal.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya mengeluarkan notis arahan penghantaran pulang kontena berkenaan ketika menjalankan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kontena dari Amerika Syarikat (AS) mendapati e-waste dibawa masuk tanpa kelulusan JAS.

“Di bawah Konvensyen Basel, kelulusan awal daripada negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk e-waste.

“Mengikut prinsip asas Konvensyen Basel, setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan mendapat kelulusan awal JAS.

“Sehubungan itu, JAS mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena terbabit ke negara asal. Kegagalan pihak pengimport untuk mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan yang tegas diambil tanpa notis lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan pegawai JAS negeri bersama dengan pegawai kanan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pelabuhan NBCT.

“Antara bahan buangan yang ditemui adalah skrin elektronik rosak, papan elektrik yang berada dalam keadaan tercerai serta komponen elektronik yang lain.

“Buangan ini didapati dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual, termasuk e-waste (SW110) ke negara ini tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

“Seperti semua pihak sedia maklum, buangan e-waste adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara yang diperuntukkan seperti yang dinyatakan di Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“E-waste perlu diuruskan pelupusannya mengikut kaedah yang betul kerana buangan terbabit mengandungi bahan berbahaya seperti logam berat boleh mencemar alam sekitar jika tidak diuruskan secara selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top