safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam percakapan 11 saksi bebas bagi siasatan kes penularan hantaran WhatsApp yang mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, ditahan di Perasing, Terengganu.
Hantaran itu yang turut memaparkan gambar Mohd Khairuddin didakwa bersama seorang wanita, dilihat dimuat naik dalam laman sesawang Info Negara Kini, pada jam 4.50 petang 28 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, mengesahkan PDRM sudah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung penularan WhatsApp berkait Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
“Seramai 11 saksi sudah dipanggil dan dirakam percakapan bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Jalil memaklumkan, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik hantaran itu.
Beliau berkata, polis juga merakam percakapan individu lain berkaitan kes itu sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.
“PDRM menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini.
“Sebarang bentuk penyebaran berita palsu menggunakan platform media sosial adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd