EURO: Hajat penyokong Croatia tak kesampaian

EURO: Hajat penyokong Croatia tak kesampaian

LONDON: Sekumpulan penyokong Croatia menyewa jet peribadi bagi membawa mereka ke Scotland untuk pertemuan menentang Republik Czech tetapi akhirnya menyaksikan perlawanan di Prague.

Selepas tewas aksi pembukaan Euro 2020 di tangan England, Croatia perlu bangkit pada perlawanan kedua Kumpulan D itu, Sabtu lalu.

Patrick Schick meletakkan Czech di depan dalam perlawanan yang berlangsung di Glasgow Hampden Park tetapi Ivan Perisic memastikan Croatia masih berpeluang untuk layak ke pusingan kalah mati apabila menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua untuk mengutip satu mata.

Sebastian Jagic Njare, adiknya, Simo dan rakan mereka, Domagoj Raljevic serta Luka Vojvodi menyifatkan perlawanan itu adalah aksi wajib yang perlu disaksikan.

Selepas berjaya mendapatkan tiket, mereka membuat keputusan untuk menyewa jet peribadi bagi menerbangkan mereka dari Lapangan Terbang Zemun untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila mereka tidak dibenarkan mendarat di Scotland.

“Kami menyewa jet peribadi bagi menyaksikan perlawanan Croatia menentang Czech di Glasgow. Kami sudah pun mempunyai tiket dan kami sangat teruja.

“Jet ini adalah milik syarikat di Czech dan kami mendapat diskaun – ia lebih mudah berunding dengan mereka berbanding mendapatkan kebenaran daripada wanita kami untuk pergi menyaksikan perlawanan.

“Apabila kami tiba di Scotland, juruterbang memberitahu kami yang dimaklumkan kami perlu meninggalkan ruang udara Scotland kerana pandemik COVID-19. Mereka tidak benarkan kami untuk mendarat.

“Kami sangat kecewa. Ketika di udara kami berfikir ke mana kami mahu pergi dan kami memutuskan untuk memohon kebenaran bagi memasuki Czech. Akhirnya kami tiba di Prague dan menyaksikan perlawanan bersama penyokong Czech,” kata Sebastian.

– AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top