Prestasi Fuad untuk kategori baru belum diuji

Kuala Lumpur: Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, 29 masih tidak berpeluang menguji prestasinya selepas beralih kepada kategori 52 kilogram (kg) berbanding 49 kg sebelum ini.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu berkata beliau hanya mengikuti latihan selama dua bulan sebelum kembali ke Lumut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tugasnya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Dari Januari sehingga Julai, saya tidak berlatih bersama-sama atlet lain sebab ada kursus di Lumut. Saya hanya sempat masuk latihan dua bulan sahaja, sekarang kembali jalankan tanggungjawab sebagai tentera laut”, katanya.

“Memang belum sempat ada teman sepelatih untuk saya tengok dan nilai tahap prestasi saya dalam kategori baharu ini. Ditambah pula memang tidak ada sebarang kejohanan tahun ini, jadi saya memang tidak nampak sejauh mana prestasi saya,” katanya lagi.

Petinju itu juga mengakui bahawa penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak menjejaskan rentak latihan serta prestasi semasanya.

Tetapi, di sebalik kekangan dihadapi, Muhamad Fuad tetap ‘mencuri’ masa lebih kurang sejam setiap hari untuk melakukan latihan kecergasan, pada waktu sama memastikan berat badan ideal tercapai.

“Pada masa sama, saya harap COVID-19 berakhir dengan cepat agar boleh mulakan latihan sparring di luar negara untuk pastikan kami mencapai kembali prestasi yang lama ditinggalkan ini sebelum Sukan SEA 2021”, ujarnya.

Sebelum ini, Persatuan Tinju Malaysia (PTM) melantik bekas jaguh tinju Uzbekistan, Rustam Saidovdari iaitu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 sebagai ketua jurulatih skuad tinju kebangsaan yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun depan.

Berkenaan itu, Muhamad Fuad berharap jurulatih baharu itu dapat membantu skuad tinju negara meningkatkan prestasi dan lebih berdaya saing ketika menghadapi lawan.

“Beliau akan mula latih kami pada Januari depan. Jadi, kami ada masa yang agak panjang sebagai persediaan ke Sukan Sea 2021 di Vietnam. Saya harap kami menerima ilmu secukupnya untuk beraksi di Sukan Sea nanti”, ujarnya.

Sebagai statistik, selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Rustam turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan juga Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top