bhnews@bh.com.my
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan menyeludup masuk 4,000 kilogram (kg) ketam bakau hidup bernilai RM80,000 dari negara jiran di muara Sungai Tawau, dekat sini, pagi tadi.
Rampasan dilakukan susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot jongkong yang dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan dua batu nautika di Tenggara dari muara Sungai Tawau, jam 8 pagi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim, V Siva Kumar, berkata sepasukan anggota kapal ronda KM Kapas yang sedang melaksanakan “Ops Cegah Pati Selatan” mengesan bot jongkong terbabit sebaik memasuki sempadan perairan negara sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Pemeriksaan mendapati bot jongkong yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun itu sarat dengan muatan kotak polysterin berisi ketam bakau hidup yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Ketika diperiksa, lelaki yang juga juragan bot berkenaan mengemukakan lesen yang meragukan iaitu lesen dari vesel berlainan berikutan nombor pendaftaran pada lesen berbeza dengan nombor pendaftaran pada bot.
“Selain itu, juragan bot terbabit juga gagal menunjukkan sebarang permit yang sah berkaitan kargo atau muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siva Kumar berkata hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku menerima upah bagi membawa hasil laut itu.
“Siasatan lanjut juga mendedahkan modus operandi kegiatan penyeludupan itu adalah melalui kaedah pemindahan hasil laut dari bot asing ke bot tempatan secara sembunyi di kawasan sempadan sebelum dibawa masuk ke daerah ini tanpa melalui prosedur import dan eksport yang sah.
“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan kemasukan vesel (non conventional ships) dari negara jiran sekali gus menghentikan aktiviti import dan eksport hasil laut,” katanya.
Tangkpan dan semua hasil laut ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut. Pemilik bot juga akan dipanggil untuk diambil keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd