Alih kawat duri PKPD mahu ziarah ibu – Utusan Digital

Alih kawat duri PKPD mahu ziarah ibu – Utusan Digital

TUMPAT: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati cuba mengalihkan kawad berduri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kutan Tengah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan pada mulanya menunggang motosikal sebelum berhenti di sempadan kawasan dan cuba mengalihkan kawad berduri untuk masuk ke lokasi PKPD.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab. Rashid Mat Daud berkata, soal siasat terhadap suspek mendapati dia yang menyewa di Pasir Mas ingin masuk ke kawasan PKPD  bertemu ibunya.

“Lelaki itu juga mengaku sudah beberapa kali mengalihkan kawad berduri yang dipasang di kawasan itu semata-mata mahu menziarahi ibunya.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai sembilan rekod lampau berkait jenayah kekerasan dan dadah,” katanya kepada pemberita ketika melawat PKPD Kampung Kutan Tengah, hari ini.

Menurut Ab. Rashid, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, 269 Kanun Keseksaan selain ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Peraturan 6 Akta 342. 

Dalam perkembangan lain, ujarnya, seorang lelaki berusia 33 tahun dikompaun RM3,000 selepas didapati menceroboh kawasan PKPD sama semalam. 

“Kompaun dikeluarkan di bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan memandangkan lelaki itu tidak mematuhi arahan PKP yang ditetapkan. 

“Polis sentiasa memperketat kawalan selain terus memastikan kawasan PKPD dipantau rapi dengan menempatkan 60 anggota di setiap kawasan mengikut penggiliran tugasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top