MERCY Malaysia salur bantuan kecemasan RM500,000 ke Palestin

MERCY Malaysia salur bantuan kecemasan RM500,000 ke Palestin

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan bernilai RM500,000 kepada Palestin sejak meletusnya serangan terbaharu oleh Israel.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata bantuan itu digerakkan melalui Program Tindakan Bantuan Kecemasan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kerjasama rakan strategik di Gaza dan Tebing Barat.

Bantuan berkenaan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin, yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas dengan serangan rejim Zionis.

“Antara bantuan kecemasan fasa pertama terbabit adalah bantuan ubat-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan, termasuk rawatan rapi. Penghantaran kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di pintu masuk Gaza di sempadan Rafah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Ahmad Faizal berkata, MERCY Malaysia juga mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 daripada daripada 1,200 keluarga, selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain.

“Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga terkesan akibat serangan rejim Israel,” katanya.

Beliau memaklumkan, bantuan lain ke Palestin sedang digerakkan melalui fasa pertama merangkumi menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial, khususnya kepada mangsa trauma.

“MERCY Malaysia sudah menghulurkan bantuan di Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang,” katanya.

Mengulas gencatan senjata Israel-Palestin, Dr Ahmad Faizal menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

“Gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban di wilayah konflik berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top