bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: “Niat kami hanya untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan sama-sama berkongsi rezeki.”
Bagi Efendi Abd Malek, 43, tugas hakikinya sebagai jurulatih di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Kuantan, tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban masyarakat.
Bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Persatuan Sukarelawan Sosial Al-Khair (PSSAK) itu berkata, ia membolehkan beliau mendekati komuniti pelbagai peringkat.
“Hasrat saya hanyalah untuk menggunakan masa lapang dengan sebaik mungkin dan membantu masyarakat atau golongan kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui selepas program Projek Amal Raya PSSAK, di sini, hari ini.
Pada program itu, sebanyak 26 keluarga asnaf daripada kariah masjid Taman Senawang Jaya menerima bantuan berupa barangan untuk keperluan harian dan persiapan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, penyelaras program berkenaan, Khairolina Kamat, berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada sebilangan individu yang memberi sumbangan kewangan dan barangan keperluan, selain Baitulmal Seremban untuk mengenal pasti penerima yang layak.
“Alhamdulillah, program ini mencapai matlamat. Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam membuat persiapan ketika Ramadan dan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd