Kebakaran Putra Heights: Paip gas 16 meter sudah dibawa keluar

Kebakaran Putra Heights: Paip gas 16 meter sudah dibawa keluar

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Paip gas sepanjang 16 meter sudah digali dan dibawa keluar setakat hari ini bagi tujuan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan siasatan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu lagi bagi menggali keluar kira-kira empat hingga lima meter lagi paip gas berdiameter 36 inci berkenaan.

Menurutnya, pasukan siasatan menghadapi kesukaran membawa keluar paip yang berat itu berikutan menghadapi cuaca hujan kira-kira 20 hari sejak kerja dimulakan hampir sebulan lalu.

“Oleh sebab itu saya bawa rakan media untuk melihat sendiri betapa susahnya tempat itu dan kita dah keluarkan tiga spesimen (paip) yang panjangnya 16 meter.

“Sekarang berbaki empat hingga lima meter lagi paip untuk dibawa keluar bagi tujuan analisis oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Setakat ini kita sudah korek sehingga dasar sedalam 16 meter, dan seterusnya (laluan) paip itu sudah mulai menaik ke atas (kawasan bukit),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Katanya, operasi membawa keluar paip berkenaan tugas yang kompleks dan memerlukan perancangan dan kerjasama tinggi dari semua pihak terbabit.

Beliau berkata, kerja pengorekan tanah sudah hampir selesai dan sekarang kerja memotong paip berkenaan akan dilaksanakan selepas segala perancangan dan persiapan dilakukan.

“Jadi masa diperlukan lagi untuk selesaikan kerja mengambil spesimen yang masih tertinggal lagi untuk dianalisis pihak JKKP supaya dapat keluarkan satu laporan yang lengkap.

“Jadi keadaan cuaca yang saya kata hampir 75 peratus daripada hari-hari yang dalam tempoh 29 hari (operasi) adalah hari hujan menyukarkan lagi atau melambatkan lagi kerja-kerja siasatan di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, setiap kali hujan, pihaknya perlu memberhentikan kerja-kerja penggalian atas faktor keselamatan seterusnya perlu mengeringkan tapak berkenaan sebelum dapat menyambung semula tugas.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata, pasukan siasatan turut mengambil sampel tanah di lokasi kejadian dan sampel-sampel berkaitan di beberapa lokasi sepanjang saliran paip berkenaan untuk dianalisis bagi tujuan perbandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top