Ibu tuntut pembelaan kematian anak berusia 13 bulan

Ibu tuntut pembelaan kematian anak berusia 13 bulan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Ibu kepada bayi lelaki berusia 13 bulan menuntut siasatan lanjut pihak berkuasa, susulan kematian anaknya didakwa akibat terjerut kain buaian di rumah pengasuh di sini.

Kejadian berlaku pada 15 April lalu, dengan wanita berusia 37 tahun dikenali Ding memohon siasatan untuk mengetahui punca kejadian yang berkemungkinan terdapat elemen kecuaian.

Katanya, siasatan itu juga kerana tidak mahu kejadian sama berlaku kepada ibu bapa lain.

“Sebagai ibu, saya berasa sedih dan tidak berdaya dengan kejadian yang menimpa anak lelaki yang baharu berusia 13 bulan.

“Saya harap pihak berkuasa dapat menyiasat secara menyeluruh dan mengharapkan kejadian ini tidak berlaku kepada kepada keluarga lain,” katanya pada sidang media di Pejabat Senator Dr Fuziah Salleh di sini hari ini.

Turut hadir pegawai khas Fuziah, Koh Yee Yen.

Pada 9.30 pagi, 15 April lalu, dia menerima panggilan daripada pengasuh, memaklumkan leher anak lelaki dipercayai terjerut kain buaian dan pemeriksaan perubatan mengesahkan anaknya mengalami simptom hipoksia otak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan menerima laporan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top